05 February, 2011

MANUSIA YANG LUPA DIRI

Khatam zikir masih belum bertemu tuan.
Saat salam sakaratul menyaring datang,
ketar seluruh jasad mendengar raungan,
lantas hati terus-terusan terkesan,
senandung ngilu sang hati peri
bertanya pada sekalian umat dunia,
nan entahkan sedar entahkan tidak.

Alpa apakah kira
bila jeritan bersabung letupan,
saat tangisan beranyam darurat,
kala darah menjadi air dan
daging manusia enak dilapah!
Masih ada lagi yang ketawa ceria?
Menongkah dunia dengan percikan api
di awan gelap, berpeleseran dan berpelukan,
berpeluk pinggang tak lekang,
berkongsi teguk kencing si syaitan,
gerudi bergelek hingga ke fajar.
Hati, manakah tautannya?
Tak sampaikah derita sana, untuk
airmata mengalir dari hati,
kebas terus ke liang nadi,
biar sampai nanti tak ada kisah
dalam sejarah menjadi hitam bersegi.

Salam zikir masih belum mahu berhenti,
walau sayup-sayup bedil bom menyaring lagi.
Masih di dalam hati mengharap agar
lewat esok pagi,
hitamlah langit mengait sayap beburung Ababil,
dan air tangis si kecil menjadi api,
terus menjadi peluru membedil Zionis,
juga manusia-manusia yang lupa diri.

No comments:

Post a Comment